Luqman al-Hakim, nama seorang hamba Allah
s.w.t yang sering menjadi sebutan dari bibir ke bibir. Kebijaksanaannya sebagai
seorang ayah membimbing anaknya menjadi pedoman kepada semua manusia sehinga
Allah s.w.t mencantumkan namanya dalam al-Quran – surah Luqman (QS 31)
Dahulu kala, ada seorang raja yang
bercita-cita ingin memahami semua bahasa binatang dari yang paling kecil hinggalah
kepada yang paling besar – dari sekecil semut hinggalah sebesar gajah.
Pada suatu ketika, raja itu mendapat ilham
untuk bertafakur di dalam laut. Baginda kemudian membina bilik kecil dari kaca
berbentuk empat segi. Di bahagian atasnya ditebuk lubang supaya udara dapat
masuk.
Setelah selesai membuat bilik kecil itu,
baginda masuk kedalamnya lalu dibawa ke laut. Bilik itu dibenamkan ke dalam
laut, hanya tinggal corong angin saja pada permukaan laut.
Di atas corong itu diletak sebuah loceng.
Bila baginda menarik tali loceng, bunyi loceng itu menandakan bahawa bilik itu
perlu dinaikkan, bermakna tafakur baginda sudah selesai.
Demi memenuhi cita-citanya, baginda tidak
makan dan minum. Pada suatu ketika, raja berasa seram kerana dari luar bilik
dilihatnya tangan manusia tetapi baginda tidak nampak badannya. Tangan itu
masuk ke dalam tanpa setitik air pun membasahi bilik kaca itu.
Baginda juga mendengar suara mengatakan,
“Ambilah ini dan buatlah makanan dan makanlah, nescaya apa hajatmu akan
berhasil”.
Raja bersyukur, gembira serta berterima
kasih atas pemberian itu, yakni sebuah bungkusan yang berisi tepung. Sekelip
mata, tangan itupun lenyap.
Setelah kembali di istana, baginda menyuruh
tukang masaknya membuat roti daripada tepung itu dan baginda tidak berpesan
apa-apa lagi.
Setelah tukang masak mendapat perintah,
maka disegerakan tugas itu. Setelah roti selesai dimasaknya, lalu diletakkannya
di dalam almari makan, sementara menunggu untuk dihidangkan apabila raja itu
mahu bersantap.
Tukang masak itu mempunyai seorang anak
lelaki bernama Luqman. Anak ini cerdas akalnya dan pandai menulis. Ketika
tengahari, Luqman pulang dan merasa lapar. Ketika membuka almari, dia melihat
roti yang baru dimasak. Tidak ada makanan lain dalam almari itu. Tanpa berfikir
panjang dan kerana terlalu lapar, Luqman memakan roti itu sampai habis, sedikit
pun tidak tersisa.
Setelah tukang masak itu memeriksa almari
makanan itu, didapati roti yang sudah dimasaknya itu telah tiada. Dia begitu
cemas dan takut lalu bertanya kepada Luqman.
Siapakah yang memakan roti itu? Tanyanya.
Terus terang Luqman menjawab, dialah yang
memakan roti itu. Tanpa berkata apa-apa, tukang masak itu memasak roti baru
untuk dihidangkan kepada raja.
Setelah tiba waktu makan malam, tukang
masak itu menghidangkan roti itu. Dengan senang hati baginda mengucapkan terima
kasih kepada tukang masak itu. Tidak salah lagi dalam fikirannya, pada malam
itu baginda akan dapat memahami bahasa binatang sebagaimana Nabi Sulaiman a.s.
Tukang masak tidak memberitahu kepada
baginda bahawa roti yang dimakannya itu bukanlah daripada tepung yang
diberikannya.
Setelah selesai makan, baginda pergi ke
kandang kuda. Pada fikirannya, pada hari itu, sudah pasti baginda akan dapat
memahami bahasa kuda. Setelah sampai ke kandang kuda, baginda hairan dan
terpinga-pinga. Baginda masih tidak dapat mengerti bahasa kuda.
Apakah tangan yang memberi tepung kepadanya
ketika brtafakur di dasar laut itu berbohong? Tidak mungkin. Baginda pergi pula
ke kandang kambing, namun baginda masih tidak memahami bahasa kambing.
Kemudian baginda memanggil tukang masak dan
bertanya mengenai tepung itu. Dengan terus terang tukang masak memberitahu
bahawa roti yang dibuat daripada tepung yang diberikan baginda telah dimakan
oleh anaknya.
Baginda tidak murka, sebaliknya berfikir.
Ia bukan salah tukang masak itu. Baginda berasa dirinya yang bersalah kerana
tidak berpesan apa-apa kepada tukang masak itu.
Pada fikiran baginda, usahanya itu tidak
sia-sia kerana ada seorang anak dari keluarga istana dapat memiliki ilmu itu.
Berikutan itu, baginda begitu sayang kepada Luqman dan berharap Luqman akan
menjadi anak yang berguna.
Sejak kecil hingga remaja, Luqman menempuh
pelbagai pengalaman yang berharga. Selain dari binatang-binatang yang dicatat
berkhasiat untuk ubat-ubatan, pelbagai tumbuh-tumbuhan mempunyai khasiat
tertentu untuk perubatan.
Demikian sejarah ringkas Luqman, yang
kemudiannya mendapat gelaran al-Hakim. Namanya terkenal sehingga ke hari ini
sebagai manusia yang bijaksana dan disebut di dalam al-Quran sebagai seorang
bapa yang bijaksana dalam mendidik anak-anaknya.
Surah Luqman ayat 13-19 yang bermaksud:
‘Dan ingatlah … tatkala Luqman berkata
kepada anaknya, sewaktu ia memberi nasihat kepadanya: wahai anakku, janganlah
sekali-kali engkau mempersekutukan Allah s.w.t (dengan sesuatu yang lain),
sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah suatu kezaliman yang besar’.
‘Dan kami wajibkan manusia berbuat baik
kepada ibu bapanya; ibunya mengandungkannya dengan kelemahan demi kelemahan,
dan tempoh menceraikan susunya dalam masa 2 tahun; bersyukurlah kepada Tuhan ke
atas kedua-dua ibu bapamu, (ingatlah) kepada Akulah jua tempat kembali.
‘Dan jika mereka berdua mendesakmu
supaya mempersekutukan Tuhan dengan sesuatu yang engkau – dengan fikiran sihat
engkau – tidak mengetahui sungguh adanya, maka janganlah engkau taat kepada
mereka; dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik dan
turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepadaKu. Kemudian, kepada Akulah
tempat kembali kamu sekalian, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang
kamu telah kerjakan’.
(Luqman menasihati anaknya dengan
berkata):
‘Wahai anakku! Sesungguhnya jika ada
suatu perkara (yang baik atau yang buruk) sekalipun seberat biji sawi, serta ia
tersembunyi di dalam batu besar atau di langit ataupun di bumi, sudah tetap
akan di bawa oleh Allah s.w.t (untuk dibicarakan dan dibalasNya); kerana
sesungguhnya Allah s.w.t amat halus pengetahuanNya, lagi amat meliputi dan lagi
amat tersembunyi’.
‘Wahai anakku, dirikan solat, dan
suruhlah (manusia) berbuat kebajikan, serta laranglah mereka melakukan
perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang
menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang
dikehendaki diambil berat melakukannya’.
‘Dan janganlah engkau memalingkan mukamu
(kerana engkau memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan
d bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah s.w.t tidak suka kepada
tiap-tiap orang yang sombong dan takbur, lagi membangga diri’.
‘Dan sederhanakanlah langkahmu semasa
berjalan, juga rendahkan suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya
seburuk-buruk suara ialah suara keldai’.[1]